create your own banner at mybannermaker.com!

Friday 8 July 2011

Impian Rumah dan tangga..


Alhamdulillah..mata dicelik lagi untuk hari ini, Jumaat yang penuh barakah. Terkenang kembali hari semalam, terasa bagaikan penuh dengan sia-sia. Selain solat wajib 5 waktu, hanya surah Yaasin dan zikir harian yang mampu dilafazkan. Tiada pengabdian tahajud di kala malam kepada yang Esa. Semoga Allah bukakan hatiku untuk menguatkan diri dalam beribadah kepadaMu.

Ya Allah, aku ingin sekali meminta kepadaMu sesuatu yang amat besar bagiku. Tapi apakah layak bagiku untuk meminta setanding dengan dosa-dosa yang telah aku lakukan. Aku tetap ingin memohon, agar dipermudahkan utk aku mengecapi kebahagiaan. Kebahagiaan yang dinanti-nantikan oleh setiap insan utk berkasih-sayang kepada yang selayaknya. Ya, jodoh itu sememangnya ketentuan Allah sbt.

Rasulullah saw telah bersabda: "Ketika ditiupkan roh pada anak manusia tatkala ia masih di dalam perut ibunya, sudah ditetapkan ajalnya, rezekinya, jodohnya dan celaka atau bahagianya di akhirat".

Allah jualah yang menciptakan pasangan jodoh bagi manusia dari jenis lelaki dan perempuan. Allah berfirman iaitu:


“Ia (Allah) yang menciptakan bagimu pasangan jodoh dari jenis kamu sendiri.” (Qs. Ar-Rum, ayat 21)


Sememangnya telah menjadi lumrah dan fitrah manusia untuk berpasangan. Cepat dan lambat jodoh seseorang telahpun ditentukan Allah dengan penuh hikmah. Apa yang aku harapkan, Allah permudahkan dan mempercepatkan jodoh bagiku agar lengkap seluruh hidupku. Mungkin perasaan ini lahir kerana fitrah yang diciptakan Allah dalam diriku.

Aku berdoa kepadaMu, semoga perasaan cinta ini adalah kerana cinta daripadaMu dan bukan datang daripada permainan cinta syaitan. Sesungguhnya aku tahu, Allah lebih mengetahui segalanya-galanya. Ketetapan Allah penuh dengan hikmah. Aku hanya menunggu dengan sabar..semoga takwa itu sentiasa mengiringi jalan-jalanku. Dengan izinMu ya Allah..kurniakanlah kebaikan kepadaku seperti mana yang Engkau kehendaki. Kurniakanlah pasangan yang terbaik kepadaku, iaitu seorang mukmin yang taat dan soleh di jalanMu.

No comments:

Post a Comment